Setiap wanita yang berkahwin, pasti ingin merasa mengandungkan anak sendiri. Dan suami, pasti inginkan anak dari isteri tersayang. Pelbagai pengalaman yang Cik Na baca semasa keguguran awal tahun baru-baru ini. Membuatkan diri Cik Na makin kuat dan tabah dengan keguguran yang dialami.
Cik Na pasti, ini kes-kes yang biasa kita dengar.
a. Dah berpuluh-puluh tahun kahwin, tapi masih rezeki dikurniakan anak.
b. Dah berpuluh-puluh tahuh kahwin, apabila mengandung, tiba tiba keguguran.
c. Dah berkali-kali mengandung, tapi kerap kali keguguran. Masih belum rezeki untuk menimang cahaya mata.
Sedihkan bila dengar?
Bila Cik Na baca kisah-kisah mereka ni, terus tersedar. Cik Na baru sekali keguguran, tapi sudah tidak kuat. Bagaimana dengan mereka?
Kisah Keguguran Pertama Kali
Masa mula-mula tahu mengandung, sangat teruja. Sebab umur dah nak dekat 30 Tahun, jadi memang perancangan Cik Na dan suami untuk dapatkan anak sebelum 30 tahun. Biasa la dah kahwin lewat kan.
Selepas 4 bulan berkahwin, lewat 2 hari period terus Cik Na cek UPT. Sebab Cik Na punya period memang regular. Jadi bila lewat dari tarikh sepatutnya memang terus syak mengandung.
24 Mac 2019 –
Alhamdulillah, positif. Terang betul double line yang keluar, walaupun baru lewat period 2 hari. Masa tu Cik Na dekat Melaka, hadir majlis kahwin kawan. Suami tersengih-sengih bila Cik Na tunjuk UPT.
4 April 2019 –
10 hari selepas cek UPT pertama, Cik Na bleeding. Ingatkan period. Kan ada orang kata boleh jadi bunting pelanduk. Mengandung tapi period. Itu yang Cik Na sangkakan. Rupanya tak. Cik Na pergi Klinik dekat tempat suami kerja, then doktor scan.
Soalan biasa doktor akan tanya – Hari pertama last period bila? Untuk tahu berapa usia kandungan. Jadi, Cik Na bagi tarikh yang betul, sebab Cik Na memang catat. Jadi sepatutnya kandungan dah 5 minggu. Tapi bila doktor scan, hanya nampak rahim bengkak. Tak nampak kantung. Jadi doktor kata mungkin bleeding sebab rahim lemah, dan masih awal untuk nampak kantung. Bergantung pada perut masing-masing.
Kemudian, doktor prescribe ubat Dupaston untuk kuatkan rahim. Beli dekat Farmasi. Sebab klinik tu tak ada ubat dupaston.
7 April 2019 –
Gatal tangan nak cek UPT, masih positif. Alhamdulillah. Tapi spotting masih ada masa tu. Terus makan ubat dan fikir positif.
16 April 2019 –
Start bleeding balik selepas seminggu spotting sahaja.
17 April 2019 – RABU
Kandungan 8 Minggu, Cik Na pergi buka buku merah, dan bagitau nurse ada bleeding lagi sikit sikit. Tapi tak pernah pergi hospital. Sebab bleeding dan spotting on off. Terus Nurse suruh jumpa doktor untuk scan. Scan dengan doktor, doktor cakap kantung tak cantik. Sepatutnya kandungan 8 minggu kantung dah cantik dan dah nampak janin atau heartbeat. Tapi tak nampak lagi.
Panggil lagi seorang doktor, masa tu doktor ke 2 tengah mengandung juga. Dia kata, dulu dia pun macam ni. Tak nampak. Lega la sikit kita.
Peringatan : Bleeding adalah tidak normal. Pergi ke Hospital terus jika anda mengalami pendarahan semasa mengandung.
20 April 2019 – SABTU
Tup tup pukul 8 pagi, bleeding banyak termasuk darah yang ketul ketul. Terus pergi hospital sebab doktor klinik dah pesan, kalau bleeding banyak terus ke hospital.
Doktor dekat kecemasan cek bukaan, dan scan. Pukul 11 pagi kena warded untuk jumpa pakar.
Diagnosis :
1) OS Open – Ada bukaan.
2) Kandungan tak sempurna. Tak selari dengan tarikh period. Atau mingkin Cik Na salah tarik. Tapi mustahil!
Doktor pakar scan, kata kandungan macam tak menjadi, sebab dah 8 minggu, hanya nampak kantung. Kemungkinaan akan gugur. Lagipun dah ada bukaan.
3) 2 biji fibroid. Ikut pengalaman orang, kalau tak membesar, tak mengganggu kandungan pun.
Doktor pun bagi 2 minggu. Untuk tengok samaada gugur atau tak. Kalau 2 minggu lagi ok, maknanya kandungan ok. Tapi dia kata dah ada bukaan sikit, besar kemungkinan gugur. 50/50. Doktor bagi pilihan, nak balik atau nak stay dekat wad. Cik Na pilih balik.
Pukul 5 petang, keluar ward. Balik rumah rehat.
Tup tup pukul 9 malam, masa mandi ‘plop’ keluar darah seketul 50sen. Tengok tengok ada macam isi ikan. Sah! dah gugur. Panggil husband untuk kutip letak dalam tisu, dan siap pergi hospital semula. Masa tu nampak la husband sedih. Keluar air mata. On the way pergi hospital, slow talk untuk redha dengan apa terjadi.
21 April 2019 – AHAD
Pukul 12 malam, doktor kecemasan cek, katanya dah gugur. Dia guna muncung itik untuk tarik saki baki yang masih ada. Kemudian hantar masuk wad, untuk cek dah habis keluar kesemuanya atau belum.
Pukul 1 pagi, masuk lagi sekali muncung itik, doktor ward pula cek kot kot masih ada baki. Betul, masih ada baki, dan dia tarik lagi saki baki sampai habis.
Pukul 6 pagi jumpa pakar, pakar sahkan dah bersih. Doktor pakar yang sama jumpa masa hari Sabtu. Alhamdulillah, tak perlu cuci (D&C). D&C akan dilakukan jika tak keluar habis. Jika masih ada sisa, bahaya untuk rahim.
Cik Na cuba tanya, kenapa boleh gugur.?
Jawapan pakar : Mungkin awak belum sedia. Folic acid start makan bila?
Cik Na : On off sejak kahwin bulan 12.
Pakar : Folic acid ni memang kena makan awal (3 bulan sebelum kahwin) untuk perkembangan bayi. Mungkin tu jadi penyebab sebab kandungan awak tak menjadi dengan baik. Dan satu lagi mungkin rahim lemah.
Selepas dapat jawapan dari doktor pakar, memang Cik Na redha. Ayat doktor mengenai belum bersedia tu, rasa macam kena tepat kat Cik Na. Ada beberapa kes sebelum gugur tu, yang menunjukkan Cik Na dan suami belum bersedia juga. Mungkin ini yang terbaik dari Allah.
Lagi 1 Cik Na dah makan dupaston kan, tapi kalau dah janin tak berkembang elok, makan dupaston pon tak ada guna. Sebab dupaston untuk kuatkan rahim. Jadi silap sendiri. Tak makan folic acid dengan konsisten.
So, bermula kisah pantang Cik Na. Cik Na pantang makan 1 bulan. Pantang bersama, selepas haid pertama, terus jalan. Memang tak merancang. Lepas 2 bulan gugur, Cik Na disahkan mengandung lagi.
Ikutkan doktor, 3 bulan lepas gugur baru boleh mengandung semula. Sebab 3 bulan tu masa untuk pulihkan dan kuatkan rahim semula. Ada yang Cik Na baca, 1 bulan selepas tu dh mengandung balik. Jadi kalau ada sejarah keguguran, bila tahu mengandung terus pergi buka buku. Senang doktor dan nurse nak pantau.
Kes-kes kawan Cik Na gugur, tapi situasi sedikit berbeza
Cik Na nak share sikit kes kawan-kawan Cik Na yang mengalami keguguran juga, tapi situasi berbeza. Macam Cik Na, bleeding dan spotting selama 3 minggu kan, tapi kawan-kawan Cik Na tak macam Cik Na, tapi tiada rezeki juga.
KISAH A
– Si A mesej Cik Na, tanya pasal tanda-tanda keguguran. Sebab dia kata dia alami spotting waktu pagi, sedikit sahaja masa kencing. Esok pon sama, waktu pagi sahaja. Terus pergi jumpa doktor swasta, doktor kata baby ok. Ada denyutan jantung. Doktor suruh rehat. Tapi malam tu, tak sampai 48 jam, kawan Cik Na kata dia sakit pinggang, dan malam tu juga keguguran. Doktor kata memang gugur.
Masa tu memang tak sangka, sebab spotting sikit je, dan tak lama terus gugur. Tapi bila dia mesej Cik Na, Cik Na bagi semangat dekat dia. Alhamdulillah. Dia ok.
KISAH B
– Si B pun mesej Cik Na, tanya pasal keguguran. Dia spotting dan bleeding sikit, pergi Klinik Swasta, doktor kata pregnant, dan ada kantung. Cuma doktor tak bagi gambar scan tu. Esok tu terus keluar ketulan banyak. 2 pad jugak. Pergi Hospital, doktor kata kantung tak ada, suspek mengandung luar rahim sebab doktor tak ada bukti scan kantung dalam rahim. Sebab kat swasta tu doktor tu tak bagi gambar. Bukti ketulan tu pun kawan Cik Na buang. Sebab first timer kan, tak tahu kene simpan untuk tunjuk kat doktor. Tapi masa Cik Na tengok gambar dia ambil, memang nampak ada macam isi ikan. Tapi Cik Na bukan doktor untuk confirmkan.
Then, jumpa pakar untuk cek betul-betul bersih atau tak. Cek urine lagi, cek darah, dan scan lagi skali ikut bawah. Tiba-tiba ada kantung. Doktor kata 50/50, mungkin menjadi atau tak. Lepas keluar wad, seminggu lepas tu, keluar lagi skali ketul-ketul. Ketulan terakhir mungkin atau kantung. Esok cek UPT dah negatif. Memang betul-betul keguguran.
Jadi, simpton keguguran berbeza ikut badan. Ada yang sakit pinggang, ada yang bleeding lama, ada yang tak sakit apa apa, ada yang sakit belakang dan ada yang sakit macam nak bersalin.
Kesimpulan
Kun Fa Ya Kun. Jika Allah kata jadi, jadi. Bila melibatkan bahagian dalaman, yang kita sendiri tak tahu apa masalahnya, sebab ramai jenis tak buat medical checkup secara regular seperti Cik Na. So kita tak akan jangka kita sebenarnya ada masalah dalaman. Macam Cik Na, tak pernah sangka rahim lemah sebab kalau orang tengok, sakit pun setahun sekali. Badan berisi. Jadi rasa macam tak mungkin ada penyakit dalaman.
Tup tup lepas kahwin, baru tahu rahim lemah, dan ada fibroid. Dan bahagian dalaman pun kita tak boleh control.
So bila terjadi keguguran, Cik Na tak ada la menangis beria-ria, sebab fikirkan orang lain yang berkali kali keguguran, Cik Na rasa tak patut nak sedih beria-ria. Allah tak bagi bila kita belum bersedia. Dan bila doktor kata kandungan tak sempurna, bagi Cik Na, biar la dia gugur, dari dia lahir nanti ada kompilasi. Dan Allah dah rancang sebaiknya.
Pada yang mengalami keguguran, jangan bersedih. Usaha lagi, insyaAllah bila tiba waktunya, Allah akan bagi pada kita. Keep strong dan teruskan TTC okey?